Hungry in Kyoto? Check out our curated list of the best restaurants for Muslim travellers.

Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, Jepun ni ibarat destinasi impian yang sangat cantik, mengujakan, tapi dalam masa yang sama agak merisaukan juga. Mana tidaknya, dengan kekangan bahasa, sekatan makanan, dan budaya mereka yang serba pantas boleh buat kita rasa serabut untuk merancang. Tapi berita baik buat korang: travel ke Jepun sebagai Muslim sekarang ni dah jadi makin senang! Dari kedai makan halal di Tokyo sampailah ke ruang solat berdekatan Gunung Fuji, Jepun memang dah sedia sambut korang dengan tangan terbuka.
Panduan ini adalah teman kembara korang, satu checklist mesra Muslim yang direka khas untuk bantu mereka yang pertama kali meneroka Tokyo, Nikko, dan Gunung Fuji dengan yakin dan tenang. Jadi, kalau korang dah lama pasang niat nak tengok cahaya bandar yang memukau, kuil yang tenang, dan landskap yang estetik, ini semua yang korang perlu tahu sebelum terbang ke Jepun.
Baca juga: 6 Barang Yang Pelancong Muslim Dilarang Bawa Masuk Ke Jepun
Image credit: SeanPavonePhoto | Canva Pro
Tiada tempat yang lebih sesuai untuk mulakan kembara Jepun selain Tokyo. Saat saya sampai, rasa teruja dan kagum tu bercampur-baur kerana metropolis yang meriah ni memang gabungan antara yang lama dan baharu. Lagipun, akhirnya saya di Tokyo kut! Kuil-kuil purba berdiri megah di sebelah pencakar langit berkonsep masa depan, dan setiap sudut rasa macam ada kisahnya tersendiri. Walaupun bandarnya sibuk, saya terkejut betapa mesranya Tokyo kepada pelancong Muslim. Dengan lambakan pilihan makanan halal, ruang solat yang mudah ditemui, dan penduduk tempatan yang baik hati, tanpa ambil masa yang lama, saya dah rasa macam di rumah sendiri.
Image credit: Shawn.ccf | Canva Pro
Saya mulakan trip di Asakusa, iaitu tempat terletaknya kuil tertua Tokyo, Senso-ji, berdiri megah di tengah-tengah lorong yang penuh dengan kedai cenderamata dan gerai makanan. Bau snek yang baru dimasak memang menggoda, sampaikan saya tak boleh tahan diri daripada mencuba takoyaki halal, manisan matcha, dan mochi yang kenyal dari gerai mesra Muslim. Berjalan di Jalan Nakamise sambil mengunyah onigiri terasa seperti kembali ke masa dulu.
Saya juga ke Shibuya Sky untuk menikmati pemandangan panorama Tokyo, yang juga korang boleh tengok Shibuya Scramble Crossing dari atas dengan selamat. Pemandangannya memang mempesona, dan dengan tempahan awal, korang boleh terus masuk tanpa perlu beratur panjang. Dari dek pemerhatian terbuka 360 darjah ni, korang boleh nampak Istana Diraja sampai ke Gunung Fuji kalau hari cerah! Selepas itu, saya ke Tokyo Skytree dan Tokyo Solamachi untuk menikmati makanan ringan mesra Muslim berupa tempura makanan laut dan kari vegetarian sebelum mencuci mata di kedai-kedai unik.
Image Credit: Japan National Tourism Organization
Fakta Menarik: Saya belajar untuk pakai outfit yang selesa dan patuh syariah sebab ia mudahkan saya untuk solat, terutamanya bila seharian meneroka.
Image credit: gyumon_shibuya_halalramen | Instagram
Mencari makanan halal di Tokyo pun rupanya lebih mudah daripada yang saya sangka. Saya masih ingat nikmatnya menghirup ramen panas di Naritaya Halal Ramen di Asakusa selepas penat berjalan. Dalam masa yang sama, Gyumon di Shibuya memang memukau saya dengan yakiniku halal yang cukup menyelerakan. Apabila malam makin dingin, saya singgah di Ayam-YA di Okachimachi untuk makan ramen ala Malaysia; terus rasa seperti berada di rumah sendiri!
Image credit: @halalpanga | Instagram
Saya juga sempat ke Gohan Cafe untuk suasana makan yang selesa dan Halal Wagyu BBQ Yakiniku Panga untuk barbeku Jepun Halal premium. Kedua-duanya sangat disyorkan untuk pelancong Muslim yang menginginkan pelbagai variasi makanan di Tokyo.
Image Credit: Japan National Tourism Organization
Apabila masuk waktu solat, Masjid Tokyo Camii menjadi lokasi kegemaran saya. Jaraknya cuma 10-12 minit dengan kereta api dari Stesen Shibuya ke Stesen Yoyogi-Uehara dan 5 minit berjalan kaki dari Stesen Yoyogi-Uehara ke Masjid Tokyo Camii . Sebagai masjid terbesar dan tercantik di Jepun, ia bukan sekadar tempat solat, tapi juga pusat kebudayaan Turki yang indah yang turut mempunyai kedai halal untuk pelancong Muslim mendapatkan beberapa cenderahati khusus Jepun. Saya juga menghargai adanya fasiliti ruang solat di lapangan terbang Haneda dan Narita, malah kawasan pelancongan seperti Asakusa pun ada menyediakan ruang kecil untuk solat. Saya sarankan korang untuk membawa sejadah kecil dan sentiasa semak arah kiblat menggunakan aplikasi Google.
Image credit: Japan Experience | Official Website
Satu lagi, pergerakan di Tokyo sangat lancar dengan Kad Suica. Boleh digunakan untuk kereta api, kereta api bawah tanah (subway), malah kedai serbaneka, sememangnya lifesaver! Kalau ragu-ragu tentang arah, tanya je pekerja stesen; mereka sangat sopan, sabar dan dah biasa bantu pelancong Muslim. Meskipun berada di kota tersibuk di dunia, saya sentiasa berasa tenang, yakin dan terjaga, itulah yang membuatkan pengalaman saya di Tokyo tidak dapat dilupakan.
Image Credit: Japan National Tourism Organization
Untuk penginapan, saya pilih MIMARU Tokyo Asakusa Station. Hotel ni mesra Muslim kerana mereka sediakan peralatan memasak khas, sejadah, dan kompas kiblat (atas permintaan dan dalam kuantiti terhad). Lokasinya yang sangat strategik di Asakusa memang memudahkan korang untuk meneroka kuil-kuil berdekatan, gerai makanan jalanan (street food), dan pasar tradisional. Senang cerita, keluar je hotel terus nampak tempat menarik!
Lagi satu yang best, rangkaian hotel MIMARU ni bukan ada kat Asakusa je, tapi ada di banyak lokasi lain sekitar Tokyo, Kyoto, dan Osaka. Jadi, memang fleksibel sangat untuk korang yang nak travel ke kawasan lain tapi masih nak kemudahan mesra Muslim yang sama kualitinya. Serious tak payah pening kepala cari tempat lain!
Image Credit: Japan National Tourism Organization
Selepas puas melancong di Tokyo, saya bergerak pula ke arah utara menuju ke Nikko. Tempat ni memang satu "hidden gem" kat Prefektur Tochigi di mana udaranya sangat segar dan pemandangannya sebiji macam dalam lukisan, memang estetik habis! Sebagai pelancong Muslim dari Malaysia, perjalanan dua jam dari Tokyo ni rasa sekejap sahaja.
Image Credit: Japan National Tourism Organization
Saya naik kereta api Spacia-X Limited Express dari Stesen Asakusa ke Stesen Tobu Nikko. Perjalanan dia memang seronok, sangat selesa dan menarik kerana korang akan disajikan dengan pemandangan yang indah sepanjang jalan. Tiket kereta api ni boleh ditempah secara dalam talian (online) atau di stesen sebulan sebelum tarikh perjalanan. Memang kena tempah awal tau sebab tempat duduk popular selalu cepat habis! Pilihan kereta api ini memang cara paling efisien dan terbaik untuk ke Nikko yang penuh dengan tasik yang tenang, hutan rimba yang tebal, dan angin gunung yang sejuk.
Tips HalalZilla: Spacia-X ni wajib buat tempahan awal kerana semua tempat duduk adalah jenis reserved. Tak ada istilah "siapa cepat dia dapat" kalau tak ada tiket!
Image Credit: Japan National Tourism Organization
Melintasi Jambatan Shinkyo pula rasa macam berada di dalam dunia magis. Saya sempat berhenti sekejap untuk menghayati struktur jambatan berwarna merah terang yang merentasi Sungai Daiya tu. Serious talk, gambar waktu matahari terbit atau terbenam di sini memang lawa habis, masha Allah! Instagrammable gitu!
Di Kuil Nikko Toshogu (Tapak Warisan Dunia UNESCO), saya luangkan masa mengagumi Gerbang Yomeimon yang penuh hiasan dan ukiran halus yang membuktikan betapa hebatnya seni pertukangan zaman Edo. Kuil ni memang terkenal dengan seni bina yang menakjubkan, hiasan bersalut emas yang mewah, Pagoda Lima Tingkat, dan ukiran "kucing tidur" yang ikonik. Setiap corak di sini ada cerita rakyat Jepun yang tersendiri, memang satu kepuasan visual dan spiritual buat pelawat.
Image credit: SeanPavonePhoto | Canva Pro
Air Terjun Kegon pula satu lagi tarikan utama. Ada ruang pemerhatian yang boleh diakses guna lif. Kuasa deruan air terjun yang jatuh dicelah-celah tebing tinggi yang menghijau tu memang satu fenomena alam yang saya takkan lupa sampai bila-bila.
Fakta Menarik: Jangan lupa untuk sediakan wang tunai kerana ada bayaran masuk dikenakan dekat Jambatan Shinkyo dan Air Terjun Kegon ni.
Image credit: True Creatives | Canva Pro
Saya juga sempat singgah di Tasik Chuzenji, yang dikatakan cantik terutamanya waktu musim luruh apabila daun-daun bertukar warna merah keemasan. Pengunjung boleh pilih sama ada ingin menaiki bot santai atau berjalan kaki di tepi tasik, pemandangan ini memang takkan dapat dirasai di Malaysia. Saya nasihatkan korang untuk datang awal pagi kalau nak bergambar sebelum orang ramai tiba, pakai kasut berjalan yang selesa, dan sentiasa bawa wang tunai kerana sesetengah kwasan terpencil tak terima kad.
Image credit: Kinugawa Park Hotel | Official Website
Walaupun pilihan makanan halal di Nikko agak terhad berbanding Tokyo, saya terjumpa Yacco Sushi, sebuah restoran sushi yang ada sijil halal, siap ada set sushi tradisional dan ruang solat sekali, alhamdulillah memudahkan dan melegakan! Shizensaryo Meguri pula tawarkan pilihan makanan organik yang mesra vegetarian dalam suasana alam semula jadi, sesuai untuk makan setelah lelah menghirup udara pagi. Kalau korang nak cuba makanan yang lebih unik, Azuma Restaurant ada menu vegan berasaskan yuba (kulit tauhu). Saya cuba kari yuba dan cendawan dengan nasi serta salad yuba segar. Rasanya sangat unik dan menarik, memang pilihan bijak untuk pelancong yang mementingkan status halal di Nikko.
Image credit: He Who Walks Alone Photography | Canva Pro
Untuk bermalam, Nikko Kanaya Hotel dan Chuzenji Kanaya memang pilihan yang ideal. Saya tempah makanan mesra Muslim lebih awal dan yang menariknya, hotel ni boleh sediakan ruang privasi untuk kita solat. Gabungan penginapan dan tempat makan kat sini pun tidak mengecewakan!
Image credit: Leonid Andronov | Canva Pro
Bagi urusan solat, Stesen Tobu Nikko sangat membantu kerana ada bilik solat di tingkat dua. Korang cuma perlu minta kunci di Kaunter Informasi Pelancong (Tourist Information Counter) di tingkat satu, dan pulangkan semula kunci selepas sudah selesai solat. Guna Tobu Nikko Pass pun mudahkan urusan nak naik kereta api atau bas. Saya cadangkan korang bermalam di sini supaya dapat rasa suasana pagi yang berkabus sebelum kebanyakan pelancong harian lainnya tiba. Jangan lupa untuk menyemak ramalan cuaca tempatan serta bawa jaket nipis kerana angin gunung agak sejuk, dan disarankan untuk korang mulakan perjalanan awal pagi untuk memastikan pengembaraan korang di Nikko ni jadi lebih bermakna.
Image credit: Aflo Images | Canva Pro
Bagi saya sebagai pelancong Muslim dari Malaysia, dapat melawat Gunung Fuji ni ibarat satu mimpi yang menjadi kenyataan. Memang ada aura magik apabila dapat tengok gunung paling ikonik di Jepun ni depan mata sendiri. Kecantikannya memukau dan tidak dapat digambarkan melalui kata-kata. Saya suka akan ketenangan Tasik Kawaguchi di Yamanashi. Gunung Fuji juga dapat dilihat dari kawasan pesisir pantai Shizuoka, keindahannya membuatkan sesiapa sahaja yang melihat terus terpukau. Kawasan sekitar Fuji ni rasa lebih santai dan tenang, lengkap dengan kemudahan mesra Muslim yang buatkan eksplorasi saya jadi lebih mudah.
Image credit: True Creatives | Canva Pro
Saya mulakan hari di Tasik Kawaguchi yang sangat mudah diakses dan paling penting, percuma! Pengalaman melihat pantulan matahari terbit pada permukaan air tasik memang takkan saya lupakan. Saya sempat sewa basikal dan bersiar-siar di tepi tasik sambil hirup udara gunung yang segar, malah saya cuba juga laluan hiking pendek berdekatan. Destinasi seterusnya ialah Taman Oishi. Saya memang suka jalan-jalan di celah ladang bunga di sini, yang masing-masing muncul mengikut musim, iaitu dari lavender pada musim panas sehinggalah ke kochia merah menyala pada musim luruh. Ada bayaran masuk dikenakan untuk sesetengah kawasan, tapi pemandangan dan gambar yang dapat memang berbaloi dengan setiap Yen yang dikeluarkan!
Image credit: Visit Mt. Fuji - The top of Japan | Official Facebook
Seterusnya, saya singgah ke Gotemba Premium Outlets. Di sini menarik sebab korang boleh membeli-belah dan solat dalam bilik khas yang lengkap dengan tempat wuduk dalam satu tempat yang sama, sangat memudahkan untuk yang solo travel mahupun berkeluarga. Oshino Hakkai pula sebuah kampung comel yang terkenal dengan kolam air yang jernih dan kincir air tradisional. Masuk ke kawasan ni rasa macam masuk ke mesin masa, dan semestinya snek tempatan dia pun mantap, korang wajib cuba!
Saya juga tak lepaskan peluang ke Fuji-Q Highland, taman tema yang mengujakan berhampiran Gunung Fuji. Bayangkan naik roller coaster bertaraf dunia dengan pemandangan gunung yang gempak di belakang! Taman tema ni pun ada sediakan bilik solat tau :)
Tips HalalZilla: Datang hari biasa (weekdays) kalau nak elak beratur panjang. Guna sistem Fast Pass untuk memaksimumkan pengalaman naik rides korang!
Image credit: Japan Guide | Official Website
Dari pengalaman saya, bertanya kepada pekerja Stesen Kawaguchiko berkenaan ruang solat memang mudah sebab mereka sangat membantu. Satu lagi port wajib yang korang kena pergi ialah Masjid Fujikawaguchiko yang terletak berdekatan tasik.
Image credit: Fujikawaguchiko Masjid | Official Website
Masjid ni bukan saja tenang untuk solat dan ada tempat wuduk yang bersih, tapi ada kafe kat dalam tu! Kafe ni terus jadi port kegemaran saya untuk layan kebab halal, gyro bowls, mi ayam Jepun, dan macam-macam snek sambil menikmati pemandangan Gunung Fuji. Memang port healing terbaik untuk rehatkan diri lepas penat berjalan seharian. Macam biasa, kena sentiasa bawa cash sebab banyak kedai kecil tak terima kad, dan juga supaya senang sikit untuk beli cenderamata atau snek nanti.
Image credit: Jheng Yao Lin | Canva Pro
Nak ke Gunung Fuji dari Tokyo pun lagi mudah daripada yang saya bayangkan. Saya naik kereta api ekspres terhad "Fuji Kaiyu" dari Shinjuku yang ambil masa lebih kurang dua jam tanpa perlu tukar tren. Ini memang pilihan paling laju dan selesa berbanding laluan lain. Satu tip yang saya rasa sangat berguna ialah, guna bas tempatan yang termasuk dalam Fuji Hakone Pass. Dengan pass ni, saya boleh hubungkan Tasik Kawaguchi, Taman Oishi, dan Oshino Hakkai dalam satu perjalanan yang lancar, jadi lebih jimat masa dan tenaga!
Kalau nak view yang paling jelas dan gempak, saya cadangkan datang pada musim bunga atau musim luruh masa langit cerah dan udara segar. Dengan tips ni, kembara Gunung Fuji saya bukan saja berjalan lancar, tapi penuh dengan kenangan manis di samping dapat merasai makanan halal Jepun yang sedap.
Kalau korang nak tengok lebih lagi, jom tonton video KOL Trip dari Japan National Tourism Organization Kuala Lumpur Office (JNTO KL) untuk pengalaman secara langsung. Korang juga boleh teroka itinerari penuh kembara tersebut di laman kempen mereka untuk tips travel yang lebih detail. Jangan lupa kongsi pendapat korang pasal pelancongan Muslim di Jepun melalui Survey Google Form kami untuk bantu kami faham tentang apakah yang paling penting buat pengembara Muslim!
Baca juga: 10 Halal Anime Food Guide for Muslim Travellers in Japan
Image credit: Visual Space | Getty Images
Sebelum korang berlepas, ini ada checklist ringkas mesra Muslim untuk pastikan perjalanan korang berjalan lancar dan selesa. Mulakan dengan muat turun beberapa aplikasi penting seperti Halal Gourmet Japan untuk cari kedai makan halal berdekatan, Muslim Pro atau Umma untuk waktu solat dan arah kiblat yang tepat, serta Google Translate untuk bantu korang baca menu atau bersembang dengan orang tempatan kalau bahasa Inggeris tak jalan.
Lagi satu, memang sangat membantu kalau korang hafal sikit frasa Jepun yang mudah. Contohnya, sebut “Watashi wa Musurimu desu” (Saya seorang Muslim) supaya mereka faham keperluan diet atau solat korang. Selain itu, “Kono tabemono wa buta ga haitte imasu ka?” (Adakah makanan ini mengandungi babi?) pun sangat berguna masa nak pesan makanan.
Untuk bab mengemas barang pula, pastikan barang keperluan korang ringan dan praktikal. Bawa bidet mudah alih untuk memudahkan urusan di tandas, power bank (sebab korang akan banyak guna telefon), dan tisu basah. Botol air boleh guna semula, SIM kad travel, atau pocket Wi-Fi pun wajib ada supaya korang tak sesat masa nak hadap sistem kereta api Jepun yang efisien tapi terlalu sibuk tu.
Akhir sekali, jangan lupa untuk jaga etika budaya Jepun. Sentiasa tunduk sedikit sebagai tanda hormat atau terima kasih, elakkan makan sambil berjalan, dan sentiasa bawa plastik kecil untuk sampah sendiri kerana tong sampah memang agak susah nak jumpa di sana! Dengan amalan kecil ni, korang akan lebih mudah menyesuaikan diri dan dihormati sebagai pelancong di Bumi Matahari Terbit ni.
Baca juga: Panduan Travel Halal Terbaik 2025 Untuk Jepun
Image credit: Sanga | Canva Pro
Kembara ke Jepun sebagai seorang Muslim tak perlu jadikannya satu tekanan. Dengan sedikit perancangan, korang akan jumpa sebuah negara yang sangat menghormati, memudahkan, dan ikhlas menerima kehadiran semua orang termasuklah pelancong yang beragama Islam. Sama ada korang tengah layan ramen halal di Shibuya, solat di tepi tasik Nikko yang tenang, atau tengok Gunung Fuji bersinar pada waktu matahari terbenam, Jepun sedia menawarkan kehangatan yang melangkaui sempadan bahasa dan budaya.
Jadi, ayuhlah mula mengemas beg untuk menikmati pengalaman melancong paling berharga di Jepun sekarang kerana Jepun sememangnya untuk mu!
Alamat: 2-20-4 Kaminarimon, Taito-ku, Tokyo 111-0034
Keistimewaan: Hanya 1 minit berjalan kaki ke Stesen Asakusa. Sangat ideal untuk korang yang nak teroka kawasan Asakusa dan Tokyo Skytree.
Alamat: 21-1 Udagawacho, Shibuya, Tokyo 150-8330, Jepun
Waktu Operasi: 11 pagi - 9 malam (Setiap hari)
Keistimewaan: Aneka hidangan Tempura.
Alamat: 3 Chome-27-9 Taito, Taito City, Tokyo 110-0016, Jepun
Waktu Operasi: 11.30 pagi - 2 petang, 5 petang - 11 malam (Isnin - Sabtu); 5 petang - 11 malam (Ahad)
Keistimewaan: Menghidangkan hirisan daging lembu halal yang dipanggang gaya Jepun terus di meja korang.
Alamat: 2 Chome-7-13 Asakusa, Taito-Ku, Tokyo, Jepun
Waktu Operasi: 11 pagi - 10 malam (Setiap hari)
Keistimewaan: Hidangan kulinari Jepun asli termasuk ramen miso, gyoza, dan mi tanpa kuah.
Alamat: 3 Chome-14-5 Shibuya, Tokyo 150-0002, Jepun
Waktu Operasi: 12 tengah hari - 11 malam (Setiap hari)
Keistimewaan: Restoran Barbekyu Wagyu Halal A5 yang pertama di Jepun!
Alamat: 3‑10‑3 Motoasakusa, Taito‑ku, Tokyo 111‑0041, Jepun
Waktu Operasi: 11:30 pagi – 3:00 petang, 5:00 petang – 10:00 malam (Setiap hari)
Keistimewaan: Ramen berasaskan sup ayam (tanpa babi, tanpa alkohol) dan turut menawarkan tsukemen (mi celup) serta pelbagai pilihan menu mesra Muslim yang lain.
Alamat: 2F, 10-6 Matsubaracho, Nikko, Tochigi
Waktu Operasi: 10.30 pagi - 7.00 malam (Rabu - Isnin); Tutup pada hari Selasa.
Keistimewaan: Pelbagai jenis menu berasaskan Yuba (kulit tauhu) dan hidangan vegan.
Alamat: 6713‑17 Funatsu, Fujikawaguchiko‑machi, Minamitsuru‑gun, Yamanashi 401‑0301, Jepun
Waktu Operasi: 10:00 pagi hingga 6.00 petang (Setiap hari)
Keistimewaan: Kebab, hidangan nasi, mi tempatan (cth: "Mi Koshu"), dan hidangan lain yang sesuai untuk pelancong Muslim.
Alamat: 1-19 Ōyamachō, Shibuya, Tokyo 151-0065, Jepun
Waktu Operasi: 10 pagi - 6 petang (Setiap hari)
Laman Web: https://tokyocamii.org/
Alamat: 4‑3 Matsubara‑chō, Nikkō‑shi, Tochigi‑ken, 321‑1406, Jepun
Waktu Operasi: 8:30 pagi - 5.00 petang (Setiap hari)
Laman Web: https://www.tobu.co.jp/en/sightseeing/muslim/nikko/
Alamat: 6713‑17 Funatsu, Fujikawaguchiko‑machi, Minamitsuru‑gun, Yamanashi 401‑0301, Jepun
Waktu Operasi: Dibuka setiap hari dari waktu Subuh hingga Isyak.
Laman Web: https://fujikawaguchiko-masjid.jp/
Alamat: 1312 Fukasawa, Gotemba‑shi, Shizuoka 412‑0023, Jepun
Waktu Operasi: 10:00 pagi – 8:00 malam (Mac – Nov); 10:00 pagi – 7:00 malam (Dis – Feb).
Laman Web: https://www.premiumoutlets.co.jp/gotemba/
________________________________________________________________
Imej kredit dan foto ihsan: Japan National Tourism Organization
Published at
Get our weekly tips and travel news!
Hungry in Kyoto? Check out our curated list of the best restaurants for Muslim travellers.
Your ultimate guide to finding the best Muslim-friendly dining spots, from local favorites to global tastes.
ollow this step for your Independent Umrah Guide
A Must-Visit Guide for Muslim Travelers
Craving authentic fishball noodles? Check out our top picks for the best Halal-certified fishball spots across Singapore.